BALING – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersetuju supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat punca kejadian kepala air sehingga mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian di Kampung Iboi dalam mukim Kupang pada Isnin lalu.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut seperti disarankan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya mengalu-alukan apa juga siasatan, malah RCI pun saya setuju untuk dilakukan. Apa yang pasti, kita nak tahu rakyat juga tekan saya sebab mereka juga nak tahu apakah kesudahannya, bukan nak cari salah siapa.
“Rakyat saya sudah meninggal dunia dan tidak mahu benda ini berpanjangan. Saya tahu di atas sana ada tiga lagi kolam besar tadahan air macam padang bola.
“Kalau jadi apa-apa lagi, adakah perlu saya nak tunggu rakyat saya mati 20 orang lagi. Saya sudah cakap dalam Parlimen lapan bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) agar kerajaan negeri Kedah mengadakan suruhanjaya siasatan awam bagi mengenal pasti punca tragedi kepala air dan banjir lumpur di banjir di Kupang di sini.
Pada semalam, Presiden SAM, Meenakshi Raman dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu perlu bagi memastikan punca sebenar kejadian selain mengenal pasti langkah dan jurang yang perlu ditangani dengan segera. – KOSMO! ONLINE