fbpx

LRT, MRT jadi terapi minda, fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebahagian daripada keseronokan menjadi pengembara backpackers ketika melancong ke beberapa buah negara maju adalah ketika menggunakan kemudahan kereta api bawah tanahnya yang cekap selain menikmati pemandangan unik.

Pengalaman paling teruja apabila berada di Moscow, Russia, manakala stesen kereta api bawah tanah yang membolehkan kepala berserabut adalah ketika berada di London dan juga Paris.

Namun di sebalik kemegahan rakyat Malaysia menceritakan pengalaman mencuba pelbagai pengangkutan awam di negara orang, jangan diperlekehkan pula manfaat yang diperoleh apabila menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan juga Transit Aliran Massa (MRT).

Pelbagai inisiatif yang dijalankan Prasarana Malaysia Berhad, pemilik dan pengendali aset terbesar pengangkutan awam darat di Malaysia untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada semua.

Sebenarnya nilai kemudahan lengkap yang dibayar pada harga tambang yang rendah itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh jutaan penduduk tidak kira umur dan pangkat bersama-sama berkongsi ruang dalam gerabak untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Sebagai seorang pengguna perkhidmatan LRT pada waktu puncak selepas pukul enam petang, penulis menjadikan aktiviti berjalan dari pejabat ke stesen berdekatan selama 20 minit dan menaiki tangga serta berdiri sepanjang jalan (jika tidak bernasib baik) di dalam gerabak sehingga tiba di stesen yang dituju sebagai satu senaman ringkas untuk kesihatan.

Selain itu, berada dalam gerabak yang dipenuhi penumpang juga membuatkan penulis berasa terhibur dengan ragam penumpang lantas menjadikannya sebagai terapi minda untuk menyegarkan fikiran selepas lebih lapan jam bekerja.

Bersesuaian hidup dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar kini, menggunakan kemudahan pengangkutan awam adalah salah satu ikhtiar kita yang terbaik untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian.

Usaha ini menjurus kepada warga kota yang tinggal atau bekerja dalam jajaran stesen LRT dan MRT agar mengambil peluang ini untuk mengubah cara hidup dengan keluar lebih awal dari rumah, persiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental untuk menjadi pengguna setia kemudahan pengangkutan tersebut.

Sekiranya sebulan dapat menjimatkan lebih 80 peratus daripada kos pengangkutan, jadi bayangkan nilai yang boleh dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan dapur yang meningkat berkali ganda pada masa sekarang.

Selain lebih sihat berjalan meskipun hanya sekitar 20 minit sehari adalah lebih baik daripada duduk di kerusi empuk dalam kenderaan masing-masing yang berhawa dingin tetapi anda akan tetap dihimpit pelbagai tekanan ketika berada di jalan raya yang semakin berbahaya serta mencabar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI