JALAN cerita tentang perkahwinan yang berantakan, pergaduhan dalam keluarga dan berebut pasangan sudah menjadi resepi utama dalam kebanyakan naskhah drama tempatan.
Ironi, naskhah-naskhah sebegitu yang dikecam teruk netizen kerana dilabel tidak melakukan sebarang kemajuan dan lari daripada kebiasaan sebenarnya masih ditagih ramai penonton.
Demikian penegasan daripada pengarah Kyoll Hamzah yang mengakui, cerita-cerita yang sarat dengan emosi sedih, geram dan sakit hati sememangnya masih menjadi pilihan penonton.
Dia yang muncul dengan sebuah drama baharu berjudul Cinta Hilang Kata berkata demikian ketika majlis sidang akhbar naskhah tersebut di Panggung Asia, Jalan Gombak baru-baru ini.
Drama Cinta Hilang Kata membariskan pelakon-pelakon popular lama dan baharu iaitu Shah Jaszle, Sophia Albarakbah, Iqram Dinzly, Nelissa Nizam, Liza Abdullah dan Hariz Hamdan.
“Jalan cerita yang memaparkan konflik rumah tangga memang klise tetapi ironinya, drama-drama sebegini memang jadi permintaan.
“Jadi dalam Cinta Hilang Kata, ada gabungan pelakon lama dan baharu yang berbakat besar, mereka bawakan karakter berbeza mewarnai jalan cerita.
“Masyarakat memang suka cerita begini. Geram, sedih dan sakit hati, itulah formula untuk dapatkan perhatian khalayak di luar sana,” jelasnya.
Perkara sama turut dinyatakan Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh yang memberitahu, selera penonton masa kini masih menjurus ke arah jalan cerita yang berkisar konflik rumah tangga.
“Menerusi naskhah terbaharu ini, Astro Prima masih memilih cerita yang menyentuh isu keluarga dan rumah tangga untuk tatapan penonton.
“Dalam cerita ini, bukan sekadar konflik tetapi sebenarnya sarat dengan elemen lain yang akan disukai penonton termasuklah mesej positif,” ujarnya.
Ilmu hitam
Cinta Hilang Kata mengisahkan tentang kehidupan Nurul Masmin (Sophia) yang dikenali ramai sewaktu di universiti sebagai seorang pengarang yang berbakat besar.
Tetapi kehidupannya tunggang langgang selepas dijodohkan bersama Amirul (Iqram) oleh ibunya sendiri kerana perkahwinan mereka sebenarnya adalah niat jahat Jah Gayah (Liza) untuk membolot harta keluarga Nurul.
Selain konflik rumah tangga, drama yang bersiaran sepanjang 40 episod tersebut turut mengetengahkan isu kepercayaan masyarakat terhadap penggunaan ilmu hitam dan hasad dengki.
Menyentuh tentang perkara tersebut, Kyoll menjelaskan, apa yang digambarkan dalam Cinta Hilang Kata tidaklah terlalu keterlaluan dan sesuai untuk tontonan masyarakat.
“Pendekatan penggunaan ilmu hitam memang berlaku dalam masyarakat kita dan realitinya sampai sekarang pun masih ada yang mengamalkannya.
“Tetapi dalam cerita ini, isu ilmu hitam divisualkan sekadarnya sahaja dan tidak terlalu melampau. Apa yang digambarkan cuma untuk beri pengajaran kepada audiens,” katanya lagi.
Cinta Hilang Kata akan menemui penonton menerusi saluran Astro Prima (105) bermula 18 Julai ini dalam slot Tiara pukul 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat.