PUTRAJAYA – Rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee bakal membuat kemunculan di pasaran antarabangsa sekitar Ogos ini dengan memilih Brunei sebagai lokasi pertama.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Muhammad Zamry Abu Samah, perancangan untuk membuka cawangan di luar negara telah dibuat sebelum pandemik lagi, namun terpaksa ditangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Pembukaan cawangan di Brunei kini dalam proses dan mengambil masa dua bulan lagi.
“Selain itu, kami turut menyasarkan pasaran Indonesia dan Madinah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran cawangan Richiamo Coffee di Menara Prisma di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Richiamo Coffee adalah jenama tempatan 100 peratus milik bumiputera yang memulakan operasi sejak 2015 dan telah melebarkan sayap ke seluruh negara dengan 105 cawangan.
Jelas Muhammad Zamry, Richiamo Coffee di Menara Prisma merupakan cawangan pertamanya yang berkonsepkan kiosk, berbanding cawangan lain yang menggunakan konsep kafe.
Mengulas mengenai kenaikan harga barang, Muhammad Zamry mengakui pihaknya bakal menaikkan harga produk jualan sekitar pertengahan bulan ini.
“Kami memang terkesan dengan kenaikan harga barang terutamanya dalam pembuatan kek dan pastri yang menggunakan banyak telur serta tepung gandum.
“Kami mencadangkan kenaikan antara tujuh dan 10 peratus, melibatkan perbezaan harga sehingga 70 sen,” ujarnya.