Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Seramai 115 individu ditahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tangkapan paling tinggi sebanyak 35 membabitkan kesalahan penjarakan fizikal diikuti keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (31).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain yang dikesan termasuklah dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (lima), dan tidak memakai pelitup muka (satu).
“Daripada jumlah itu, seramai 111 individu dikompaun manakala empat individu direman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng selain turut dirampas adalah dua bot dan lima buah kenderaan darat.
Dalam pada itu, katanya, seramai 35,116 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga 25 September lalu dan ditempatkan di 75 stesen kuarantin yang ditetapkan.
Daripada jumlah itu, seramai 7,903 individu menjalani proses kuarantin wajib manakala 103 lagi telah dihantar ke hospital.
Sementara itu, sebanyak 19 operasi sanitasi meliputi empat zon merah, tiga zon kuning dan 10 zon hijau membabitkan enam negeri dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Sebanyak enam operasi di Kedah, Sabah (lima), Pulau Pinang (empat), Sarawak (dua) dan masing-masing satu di Pahang dan Negeri Sembilan,” katanya. – K! ONLINE