fbpx

Pastikan selamat jika pancing laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PERAIRAN Terengganu sememangnya popular dalam kala­ngan pemancing tegar untuk melakukan aktiviti memancing laut dalam.

Laut luas sejauh lebih 222 kilometer hingga ke sempadan maritim antarabangsa tersebut sudah pasti menawarkan pe­ngalaman memancing mengujakan.

Dalam keghairahan tersebut, segelintir kumpulan memancing mengambil mudah tanpa menyelidiki latar belakang operator bot.

Sebahagian mereka menggunakan khidmat operator bot tidak berlesen dan tidak dilengkapi kemudahan ditetapkan.

Tidak kurang pula sanggup mengikuti trip memancing ke kawasan pelantar minyak biar pun caj dikenakan mahal dan sangat berisiko demi hobi menyeronokkan itu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, insiden 10 pemancing tersadai di tengah lautan selama enam hari akibat kerosakan bot yang sewa baru-baru ini harus dijadikan pengajaran.

Beliau berkata, semua lelaki itu yang berasal dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka bernasib baik kerana dibantu sebuah bot nelayan yang dikemudi tekong warga Thailand.

“Bot mereka yang mengalami kerosakan enjin dan sedikit kebocoran tersadai kira-kira 11 batu nautika dari pelantar minyak, Pelantar Chendor.

“Siasatan awal mendapati operator bot berkenaan tidak memiliki permit untuk mengadakan trip memancing daripada Jabatan Laut,” katanya.

Muhammad Saufi berkata, bot tersebut juga tidak dilengkapi kemudahan komunikasi dan kelengkapan rawatan awal.

Katanya, aspek keselamatan jelas tidak dititikberat dan ketia­daan kemudahan komunikasi menjadi antara punca operasi mencari dan menyelamat tersebut agak sukar.

“Maritim Malaysia amat kecewa masih terdapat segelintir pengusaha yang mengambil mudah tahap keselamatan nyawa ketika berada di laut.

“Pesanan dan kempen telah banyak dilaksanakan, namun hal seperti ini masih berlaku,” ujar­nya.

Muhammad Saufi berkata, selain insiden melibatkan 10 pemancing tersebut, terdapat tiga kes kemalangan di laut disebabkan pengabaian keselamatan berlaku di Terengganu turut dilaporkan sejak 24 Jun lalu.

Beliau berkata, tambah menyedihkan, ia turut melibatkan seorang mangsa yang masih belum ditemui selepas jatuh ke dalam laut.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia MPM Petronas, Mohamed Firouz Asnan menasihatkan nelayan mahu pun peman­cing agar menghindari kawasan pelantar minyak di tengah laut di seluruh negara termasuk perairan Terengganu.

Beliau berkata, kawasan dalam lingkungan 500 meter dari pelantar minyak merupakan zon larangan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Aktiviti mencari gali minyak dan gas amat berisiko tinggi kerana membabitkan sumber ­hidrokarbon semulajadi yang mudah terbakar.

“Sebarang pencerobohan yang dilakukan dikhuatiri boleh mengundang bencana yang me­ngancam nyawa nelayan atau pemancing serta kakitangan pelantar,” katanya.

Mohamed Firouz berkata, lebih membimbangkan, ia boleh memberi kesan negatif serius terhadap operasi di pelantar minyak terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI