fbpx

Gagal bawa masuk lebih 2 tan daun ketum ke Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di dalam sebuah lori di SJR Hutan Melintang, Jeli semalam.

PASIR MAS – Cubaan seorang lelaki untuk membawa masuk sebanyak lebih dua tan daun ketum bernilai lebih RM60,000 ke Kelantan gagal apabila lori yang dipandunya ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Hutan Melintang, Jeli dekat sini semalam.

Lelaki berusia 49 tahun itu yang memandu lori jenis Isuzu diberkas kira-kira pukul 5.52 pagi semasa kenderaan dipandunya melalui SJR berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, pemandu lori tersebut seolah-olah yakin polis tidak akan menahannya termasuk memeriksa muatan kenderaan itu.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu telah menemui beg galas mengandungi sebotol air ketum, satu botol plastik berisi cecair kodein dan tiga biji pil kuda.

“Ketiga-tiga bahan tersebut dipercayai digunakan oleh suspek sepanjang dia memandu lori dari arah Gerik, Perak menuju ke Jeli.

“Pemeriksaan pada bahagian muatan lori itu kemudian telah menemui sebanyak 2.03 tan daun ketum yang diletakkan di dalam bungkusan plastik hitam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022, Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, kesemua daun-daun ketum itu dipercayai dibawa dari sebuah negeri di utara dan berkemungkinan besar ia akan diseludup ke Thailand.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan akan terus menjalankan pemeriksaan di setiap lapisan terutamanya di kawasan SJR bagi mengelakkan sebarang cubaan menyeludup terlepas masuk ke negeri ini,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI