BALING – “Muhammad Aidan adalah nama pilihan arwah isteri saya untuk bayi yang bakal dilahirkannya itu, tetapi Allah lebih menyayanginya.”
Itu kata Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, dalam nada sebak selepas selesai pengebumian jenazah isterinya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, bersama janin yang dikandung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban di sini pukul 5.30 pagi semalam.
Arwah Nurul Anis dan janinnya dikebumikan di dalam satu liang lahad.
Turut dikebumikan di dalam satu kubur yang sama ialah ibu mentua Nurul Anis, Salmah Mat Akib, 53, dan adik ipar, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
Kesemua mereka terkorban dalam kejadian kepala air di Kampung Iboi dalam mukim Kupang di sini pada Isnin lalu selepas rumah dihanyutkan arus sebelum mayat mangsa ditemui di bawah timbunan pokok, tengah hari kelmarin.
Berita berkaitan: Banjir Baling: Mayat wanita hamil, ibu mertua ditemui berpelukan
Menurut Muhammad Khairul Asyraf, arwah isterinya, Nurul Anis sangat teruja untuk menimang cahaya mata pertamanya dan beria-ia untuk menamakan anak mereka itu dengan nama Muhammad Aidan.
“Meskipun kami belum tahu jantina anak, tetapi isteri sudah ada nama untuk anak lelaki.
“Isteri pilih nama Muhammad Aidan kerana dia kata nama itu indah, bermaksud anak lelaki yang penuh bersemangat, berakhlak mulia dan cergas,” katanya.
Kata Muhammad Khairul Asyraf, hasrat isteri kesayangannya itu untuk menimang cahaya mata pertama selepas bernikah pada 2 Februari lalu tidak kesampaian.
“Walaupun masih bersedih, namun saya reda dengan pemergian isteri dan anak kami. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menatap wajah anak lelaki dan saya nampak wajahnya seiras wajah saya.
“Semasa buat imbasan kandungan isteri sebelum ini pun, kami sudah nampak wajah anak seperti wajah saya,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia mendapati isterinya itu kerap menasihatkannya supaya menjaga diri serta membaca doa setiap kali keluar dari rumah.
“Saya bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan akan pulang ke kampung setiap kali cuti.
“Isteri saya pula tinggal bersama ibu saya yang lumpuh akibat strok. Dialah yang membantu menjaga ibu sepanjang saya bekerja,” ujarnya.
Katanya, dia juga pernah bertanya kepada arwah tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, namun arwah hanya menjawab tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu lagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lalu, tiga nyawa terkorban, manakala lebih 1,500 penduduk dari lebih lima buah kampung dalam mukim Kupang terjejas.
Mayat Nurul Anis dan Salmah ditemui dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Khairul Ikhwan yang juga anak bongsu Salmah ditemui di bawah timbunan batang pokok di lokasi berhampiran, kira-kira dua jam kemudian.