KUALA LUMPUR – Pengedar dan pengimport kenderaan Nissan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkan model Serena S-Hybrid yang telah dipertingkat semalam, selepas membuka tempahan bulan lalu.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Tan Chong Motor Holdings, Daniel Ho, sebanyak dua varian ditawarkan iaitu Highway Star dan Premium Highway Star.
Katanya, ETCM telah memperkenalkan Nissan Serena sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) pertamanya pada tahun 1997 dan sejak itu, lebih 45,000 unit telah dijual di seluruh negara.
“Tahun lalu, model ini menjadi MPV bersaiz sederhana bukan nasional yang paling laris di negara ini,” katanya ketika majlis pelancaran di Mid Valley Megamall semalam.
Tambah Ho, model itu masih mengekalkan enjin MR20DD 2.0 liter dengan bantuan motor elektrik ECO untuk menghasilkan kuasa setinggi 150PS pada 6,000 rpm dan daya kilas 200Nm pada 4,400rpm, dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT.
“Dari segi kelengkapan, Nissan Serena S-Hybrid didatangkan standard dengan lampu LED jenis projektor, lampu nyalaan siang DRL, pintu gelangsar sisi, rim bersaiz 15 inci (16 inci untuk versi Premium), serta spoiler bumbung.
“Ruang kabin pula hadir dengan stereng balutan kulit, Fine Vision Meter bersaiz tujuh inci, sistem infotainment dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim dua zon, tujuh slot USB serta tempat duduk pemandu yang diinspirasikan daripada kerusi Zero Gravity,” ujarnya.
Harga jualan Nissan Serena S-Hybrid 2022 facelift bermula dari RM149,500 hingga RM159,000 untuk versi Premium Highway Star.