PUTRAJAYA – Penganjuran Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Secara Berkelompok sekolah-sekolah di Tanah Merah, Kelantan pada 2 Julai lalu tidak menggunakan dana Kementerian Pendidikan (KPM) sebaliknya dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya sudah membuat semakan dan tiada sebarang peruntukan KPM dikeluarkan bagi program itu.
“Tiada sesen pun digunakan sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah digunakan untuk membiayai majlis itu.
“Sebaliknya, sumbangan dan perbelanjaan bagi program ini dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah,” katanya menerusi hantaran di Facebook tadi.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoal samada ada majlis perasmian PIBG itu di biaya oleh KPM atau tidak kerana ia menawarkan pelbagai cabutan bertuah menarik termasuk kereta, motosikal, lembu dan telefon bimbit.
Perkara berkenaan turut dipersoalkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil. – KOSMO! ONLINE