KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dijangka berdepan cabaran sukar menjelang pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters menentang jaguh China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping esok.
Pang Ron-Ee Wei menempah pertemuan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 23-25, 21-8, 21-7 di pusingan pertama hari ini.
Meskipun menghormati kemampuan yang dimiliki Yilyu-Dong Ping sebagai pilihan keempat kejohanan, namun Pang Ron menegaskan, dia dan Ee Wei akan cuba menampilkan aksi terbaik bagi menyingkirkan mereka daripada Malaysia Masters.
“Bagi aksi menentang Yilyu-Dong Ping esok, memang kami perlu melakukan persiapan lebih baik kerana mereka adalah antara beregu terbaik dunia selain hadir sebagai pemain pilihan.
“Luar gelanggang memang kami sangat menghormati mereka sebagai pemenang pingat emas Olimpik, namun apabila melangkah masuk ke dalam gelanggang, fokus kami adalah untuk mencatat kemenangan,” katanya selepas tamat perlawanan hari ini.
Tambah Pang Ron, dia lega kerana dapat melakar kemenangan ke atas Won Ho-Na Eun semalam meskipun bermula agak perlahan selepas memulakan aksi dengan kekalahan 23-25 di set pertama.
“Pada permulaan perlawanan, kita bermula dengan agak perlawanan kerana tidak ikut strategi, mungkin mereka sudah kaji permainan. Bagaimanapun, sebaik set kedua bermula, kami dapat keluarkan permainan sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, Ee Wei pula mengakui kombinasi bersama Pang Ron sudah semakin baik selain berterima kasih dengan tunjuk ajar yang diberikan gandingannya dalam setiap kejohanan disertai. – KOSMO! ONLINE