fbpx

Ibu mohon cari anak hilang 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khatijah menunjukkan gambar Razak yang hilang sejak Isnin lalu ketika ditemui di Felda Pasir Besar, di sini, hari ini.

TAMPIN – Seorang ibu memohon bantuan orang ramai untuk mencari anak ketujuhnya yang hilang sejak Isnin minggu lalu.

Khatijah @ Mariam Yahaya, 84, berkata, anaknya, Abdul Razak Kamarudin, 56, keluar dari rumah kira-kira pukul 2.30 petang dengan membawa tiga batang pancing.

Menurutnya, anaknya itu memang gemar memancing di sungai berhampiran kawasan Gemas, Gemencheh dan Rompin serta kebiasannya akan pulang semula ke rumah pada waktu senja atau malam.

“Anak saya yang masih bujang ni agak lurus sedikit. Masa umur 20-an dulu dia pernah hilang sampai ke Keratong (Pahang), tapi polis hantarnya pulang ke rumah semula disebabkan semasa dia ditahan polis, dia cakap tak tahu pulang ke rumah.

“Masa hilang tu tak lama hanya dua hari dan saya juga tidak sebimbang hari ini apabila dia tidak pulang-pulang ke rumah.

“Saya tak putus-putus berdoa dan berharap agar semua orang yang hingga hari ini mencari Razak dapat segera menemuinya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Pasir Besar, di sini, tadi.

Sementara itu, Ketua Peneroka, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Pasir Besar, Abdul Ghani Talib, berkata, laporan polis telah dibuat oleh abang sulong Razak pada Selasa minggu lalu dan dilaporkan Razak keluar dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran MBX 5840.

Menurutnya, sejak hilang, komuniti setempat serta pihak berkuasa tidak putus-putus mencari Razak dengan menyusuri tepi sungai atau lokasi dia dilihat selalu memancing iaitu di Sungai Muar dan Rompin.

“Tapi kami tak jumpa jejak langsung, malah motosikalnnya juga kami tak jumpa. Oleh itu, kami memohon jasa baik orang ramai untuk menjejaki Razak,” katanya.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat boleh melaporkannya ke balai polis terdekat atau menghubungi Abdul Ghani di talian 019-2085316. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI