fbpx

Suami isteri didakwa miliki 53 keping wang palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri ketika diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini tadi. - FOTO: IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini semalam atas tuduhan memiliki wang kertas palsu Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama memiliki 53 keping wang kertas palsu bernilai RM100 di mana mereka tahu bahawa wang tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah bilik beralamat di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, Bukit Mertajam di sini.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwa telah memohon agar mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi kerana kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penggunaan wang palsu.

Sementara itu, dalam rayuannya pula, tertuduh wanita diberitahu sedang hamil dan tidak bekerja buat masa ini manakala suaminya hanya seorang peniaga serta terpaksa menjaga kedua ibu bapanya yang telah uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan.

Pada masa yang sama, mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

Difahamkan, pasangan tersebut membayar wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI