SEREMBAN – Menyedari isu kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada golongan mahasiswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban dihadapi pelajarnya.
Naib Canselor USIM, Prof. Sharifudin Md. Shaarani berkata, inisiatif tersebut termasuklah menerusi penyediaan bantuan makanan dan program-program kebajikan.
Jelas beliau, program bantuan tersebut khusus untuk mahasiswa golongan asnaf dan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah B40 di universiti tersebut.
“Program Musaadah for Student merupakan inisiatif untuk membantu pelajar B40 melalui sumbangan makanan dan wang tunai. Seramai 340 orang pelajar telah menerima manfaat ini dan jumlah bantuan yang disampaikan adalah sebanyak RM24,100,” katanya hari ini.
Jelasnya, selain melaksanakan program seperti bank makanan (food bank) USIM juga menyediakan bantuan berbentuk pek makanan melalui Central Kitchen yang diuruskan oleh Pusat Islam USIM.
“Sumbangan pek makanan disediakan pada setiap hari Rabu dan Khamis oleh staf dan Sekretariat Pusat Islam yang memberi manfaat kepada 300 orang pelajar yang berkunjung ke Pusat Islam USIM.
“Program Menu Jimat USIM juga turut akan diperkenalkan dengan harga yang berpatutan merangkumi set nasi berlauk dengan kadar harga RM3.50,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menambah, USIM juga dalam perancangan untuk melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus.
“Kos itu membolehkan pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pusat Wakaf dan Zakat USIM juga telah membuat agihan zakat kepada pelajar berkeperluan dan bantuan ini telah memberi manfaat kepada 626 pelajar dengan jumlah agihan sebanyak RM379,700. – KOSMO! ONLINE