PETALING JAYA – Dua sekawan cemas apabila diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumah sewa mereka.
Menerusi sebuah video berdurasi satu minit 40 saat yang dikongsi di Twitter salah seorang mangsa tersebut, difahamkan lelaki tidak dikenali itu secara tiba-tiba datang ke kediaman mereka dan cuba untuk memasuki rumah berkenaan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu dapat dihalang apabila mereka sempat mengunci pintu rumah.
Lebih membimbangkan, sebaik kehadirannya disedari oleh penghuni rumah itu, lelaki berkenaan tidak melarikan diri sebaliknya meminta agar pintu rumah itu dibuka.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terkejut dengan tindakan lelaki tersebut selain menasihatkan agar penghuni rumah itu melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
“Hubungi polis, biar mereka siasat apa masalah lelaki ini,” kata Arrif.
“Cara ‘bro’ ini betul, kunci pintu. Kalau berlawan dengan dia bimbang akan jadi masalah lain,” kata Pak Syeikh.
“Walaupun duduk rumah bujang, seeloknya pasang langsir. Entah-entah dia dah biasa intai kamu berdua,” kata Sarah.
“Lebih baik pasang langsir, bahaya rumah tak ada langsir orang boleh intai macam itu. Sekarang ini jadi lelaki pun tak selamat dah,” kata Rizal. – KOSMO! ONLINE