IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakar sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemeteraian persefahaman itu sekali gus melakar sejarah dalam industri muzik tempatan.
“Kerjasama ini akan memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) serta acara persembahan awam yang dianjurkan mendapat lesen yang sah daripada MACP.
“Sejajar dengan hasrat serta inisiatif MBI bagi merealisasikan Ipoh sebagai bandar raya seni, kerjasama yang terlaksana ini menunjukkan MBI sebagai badan pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak pengkarya muzik,” katanya pada sidang akhbar di majlis menandatangani MoU tersebut di Bangunan MBI di sini semalam.
MoU tersebut dimeterainya bersama-sama Pengerusi MACP, Datuk M. Nasir
Pada masa sama, Rumaizi berkata, pemeteraian MoU itu juga bertujuan untuk menzahirkan bahawa hak cipta perlu dihormati dan muzik sebagai suatu harta intelek itu perlu diberikan ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkarya muzik.
Beliau berkata, MBI akan sentiasa cakna serta menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan kerana ia akan menjadi sebuah warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya.
Sementara itu, M. Nasir turut menzahirkan penghargaan di atas usaha MBI menghargai karya muzik negara. – KOSMO! ONLINE