fbpx

Banjir: Kerajaan peruntukan bantuan awal RM500,000 kepada mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 akan disalurkan sebagai bantuan awal kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas susulan bencana banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak di Baling, Kedah petang semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan telah dimaklumkan tentang bencana yang meragut tiga nyawa itu.

“Seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 KIR telah terjejas dan tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

“Justeru, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, antara bantuan awal yang akan disalurkan kepada setiap KIR terlibat adalah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas RM2,500; bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan pembaikan rumah.

“Setiausaha Politik saya, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR pada hari ini termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

“Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini telah mengalami kerosakan manakala sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali,” katanya.

Susulan itu, Ismail Sabri berkata, beliau telah mengarahkan semua agensi kerajaan yang terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi itu ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

“Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

“Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI