JAKARTA – Seorang wanita kecewa apabila menemui suaminya curang dengan gadis lain di dalam bilik tidur di rumah ibu mentuanya sendiri, lapor laman berita Berita Hits kelmarin.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman Instagram, wanita tersebut merakam suasana tegang di rumah ibu mentuanya selepas dia ‘menangkap’ suaminya dan wanita lain berdua-duaan di dalam bilik tersebut.
Kedengaran wanita berkenaan meminta penjelasan daripada suaminya mengenai insiden itu. Dia juga menyoal gadis yang didakwa curang dengan suaminya.
Berdasarkan butir percakapan, si isteri mengaku tidak marah, namun hairan mengapa wanita berkenaan sanggup curang dengan lelaki yang sudah beristeri.
“Kamu tahu dia sudah beristeri?” tanya si isteri kepada wanita berkenaan.
Dalam masa yang sama, ibu mentuanya dikatakan hanya duduk menonton televisyen di ruang tamu dan tidak menghiraukan keadaan itu.
“Suami ditangkap curang di rumah ibu mentua.
“Ibu mentua hanya khusyuk menonton televisyen di ruang tamu dan membiarkan suami curang dengan wanita lain di dalam bilik,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Si isteri kemudian menangis sambil berkata: “Sebelum ini hanya melihat (kejadian curang) di TikTok atau Facebook, namun kini terjadi pada diri sendiri.”
Video itu menjadi tular dengan netizen memberikan pendapat masing-masing.
“Ibu dengan anak sama sahaja. Pergilah sahaja dari situ kerana hidup kamu pasti akan lebih bahagia daripada terpedaya dengan keluarga yang tidak takut dosa,” kata seorang netizen. – AGENSI