BANGKOK – Sekumpulan penduduk yang menemui ‘mayat’ lelaki terapung di sebuah terusan di Bangkok terkejut apabila mendapati ia sebenarnya seorang manusia yang sedang bermeditasi, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Berdasarkan sebuah rakaman video, orang ramai dilihat memenuhi tebing terusan itu selepas melihat satu ‘mayat’ terapung di permukaan air longkang dipenuhi sampah-sarap.
Selepas melaporkan perkara itu kepada polis, seorang lelaki dilihat turun ke dalam air dan memeriksa keadaan ‘mayat’ tersebut.
Namun, sebaik sahaja menyentuh badan ‘mayat’ itu, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati ia bergerak dan bercakap kepadanya.
“Kami fikirkan bahawa dia sudah mati. Semua orang menjerit sebelum itu, namun dia langsung tidak bergerak.
“Apabila ada seseorang cuba menariknya, barulah dia bercakap dan memberitahu bahawa dia sedang bermeditasi,” kata seorang anggota penyelamat, Sommatr Promvog.
Selepas membantu mengeluarkan lelaki berkenaan dari terusan tersebut, pasukan perubatan melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya dan mendapati dia berada dalam keadaan sihat.
Lelaki itu kemudian dihantar pulang ke rumahnya serta diminta melakukan meditasi di tempat yang lebih sesuai. – AGENSI