JAKARTA – Sebuah rakaman video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan persiapan sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di kawasan perkuburan, lapor laman berita Berita Hits hari ini.
Berdasarkan klip video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @terangmedia itu, beberapa individu dilihat sedang sibuk melakukan persiapan di lokasi tersebut.
Pada satu sudut, terdapat sebuah pentas nyanyian beserta sistem audio lengkap untuk menghiburkan tetamu.
Turut dipaparkan adalah pentas persandingan beserta pelamin serta perhiasan yang biasa dilihat dalam sesuatu majlis perkahwinan.
Apa yang membezakannya adalah susun atur itu dibuat di sebuah kawasan perkuburan.
Video yang dikongsikan itu menjadi tular dan menerima kecaman netizen.
“Kalau tidak ada halaman rumah, adakah kampung anda juga tidak mempunyai tempat yang lapang (untuk mengadakan acara)?” kata seorang pengguna media sosial.
“Memang sudah tidak ada tempat lain ke? Kasihan kubur dipijak-pijak,” kata netizen lain. – AGENSI