LONDON – Pasukan Saintis menemui pokok teratai terbesar di dunia yang juga spesies baharu selepas ia tumbuh di sebuah taman tanpa disedari selama 177 tahun, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Pokok teratai daripada jenis Victoria boliviana (V.boliviana) itu merupakan spesies terbesar dunia dengan daunnya memiliki lebar hampir 3.04 meter, demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh taman Taman Botani Diraja London.
Spesimen terbesar bagi spesies itu boleh ditemui di Taman La Rinconada, Bolivia, dengan daunnya tumbuh selebar 3.2 meter.
Daun teratai gergasi itu yang tergolong dalam satu daripada tiga genus Victoria, boleh menyokong berat sekurang-kurangnya 79.8 kilogram.
“Dengan adanya data baharu bagi teratai Victoria, di samping mengenal pasti spesies baharu dalam genus, ia merupakan pencapaian hebat taman ini.
“Adalah penting untuk kita mengenal pasti dan mendokumentasikan kepelbagaian tumbuhan bagi melindunginya serta mendapat manfaat secara mapan daripadanya,” kata ahli taksonomi, sistematik dan botani lapangan taman berkenaan, Alex Monro dalam satu kenyataan akhbar. – Agensi