PASIR MAS – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengagihkan sebanyak 38,371 Mykad kepada pemohon di seluruh negara yang mempunyai masalah kesihatan, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman sejak tiga tahun lalu.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pengagihan Mykad secara terus itu dijalankan melalui aktiviti turun padang dibawah Program Menyemai Kasih Rakyat.
Katanya, melalui program itu, pihaknya terus mempergiatkan usaha untuk menyelesaikan isu tuntutan Mykad gantian melibatkan golongan terbabit.
“Bagi memudahkan pemohon yang menghadapi masalah untuk ke JPN, kita telah menyediakan Perkhidmatan Phone-In yang membolehkan mereka dapat memohon kad pengenalan gantiannya melalui talian telefon.
“Kaedah ini memudahkan masyarakat untuk menerima perkhidmatan JPN secara dalam talian dengan menghubungi talian 03-8880 8066,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Mykad gantian seorang warga emas Minah Ismail ,89, yang hilang di rumahnya di Kampung Tendong di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, menurut Ruslin, JPN kini sedang fasa memperbaiki ciri keselamatan sedia ada dari masa ke semasa bagi mengelakkan ciri kad pengenalan dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, JPN mempunyai pelbagai ciri keselamatan pada kad pengenalan dan sebahagiannya boleh dilihat secara fizikal malah ada yang perlu menggunakan peralatan khusus. – KOSMO! ONLINE