fbpx

Kedai ‘degil’ warga asing di Klang digempur lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedai warga asing yang diperiksa dan disita dalam operasi itu.

KLANG – Tindakan peniaga asing yang seakan mencabar pihak berkuasa dengan membina semula kedai yang pernah dirobohkan di Jalan Teratai Off Jalan Meru di sini, membawa padah apabila digempur, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira pukul 4.30 petang dijalankan Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu turut menyita semua barangan di tiga buah kedai di lokasi tersebut.

Lokasi premis sebelum ini pernah dirobohkan pada Disember 2020 kerana membina struktur bangunan tanpa kelulusan dan tiada lesen perniagaan sah.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat ramai berkaitan aktiviti perniagaan warga asing di tanah lot tersebut.

Kata beliau, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas tiga premis iaitu dua kedai runcit dan satu kedai menjual ayam.

“Premis yang masing-masing dikendalikan dua warga asing dan seorang  warga tempatan itu didapati tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

“Selain itu, premis berkenaan antaranya pernah dirobohkan sebelum ini namun didirikan semula untuk dijadikan kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Shahrul Hazri, pihaknya menyita semua barangan perniagaan di tiga premis berkenaan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI