LUMUT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meminta kerajaan khususnya kerajaan negeri melakukan inisiatif untuk segera menyelesaikan masalah perkhidmatan feri ke Pulau Pangkor termasuk isu kenaikan tambang yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Permintaan itu dikemukakannya berikutan perkembangan terkini kenaikan harga tambang feri itu yang dianggap beliau sebagai keterlaluan sehingga menimbulkan kemarahan penduduk, pengunjung serta pelancong ke pulau tersebut.
“Saya mohon kerajaan bertindak segera membantu menyelesaikan kemelut ini. Saya turut menyuarakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, agar kerajaan negeri dapat mengambil langkah memimpin usaha untuk segera menyelesaikan masalah perkhidmatan feri Lumut-Pangkor-Lumut.
“Semoga keresahan yang dialami oleh orang Pangkor dan pelancong dapat segera ditangani,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Berkuat kuasa Jumaat lalu, tambang feri ke Pulau Pangkor dinaikkan kepada RM10 bagi perjalanan sehala untuk dewasa atau RM20 untuk pergi balik, manakala kanak-kanak RM5.50 sehala atau RM11 pergi balik, berbanding sebelum ini tiket sehala dewasa RM7 atau RM14 pergi balik dan kanak-kanak RM2.50 sehala atau RM5 pergi balik.
Semalam, Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak, berkata peningkatan kos keseluruhan operasi termasuk minyak, penyelenggaraan dan kos alat ganti komponen jentera feri menjadi sebab harga tambang feri dari Jeti Lumut dan Marina Island ke Pulau Pangkor dinaikkan mulai Jumaat lalu.
Menurut Zambry, beberapa minggu lalu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan kepada beliau bahawa kenaikan tambang feri tidak melibatkan penduduk tempatan Pulau Pangkor, tetapi apa yang berlaku adalah syarikat feri terus mengenakan tambang yang tinggi.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar memaklumkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meminta kepada syarikat Prasarana Negara Berhad untuk mengambil alih perkhidmatan feri Lumut-Pangkor-Lumut bersama dengan Majlis Perbandaran Manjung dan pihak swasta yang berminat. – KOSMO! ONLINE