PUTRAJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan bahawa perubahan dalam pengurusan perlu diberi perhatian apabila menyentuh tentang transformasi dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, ia juga memerlukan komitmen dan kerjasama penuh daripada semua pihak dalam ekosistem pendidikan bagi menjayakan perubahan yang ingin dilaksanakan.
“Hari ini saya bersama-sama warga pendidikan dalam Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB) cawangan Genting Highlands, Pahang.
“Saya gunakan ruang ini untuk berkongsi dengan pentadbir sekolah, pensyarah serta jemputan lain tentang hala tuju pendidikan negara, khususnya mengenai transformasi pendidikan,” katanya menerusi bebenang ciapan di laman Twitter hari ini.
Menurut Radzi, apabila menyentuh tentang transformasi, perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah perubahan dalam pengurusan yang memerlukan komitmen dan kerjasama penuh daripada semua pihak dalam ekosistem pendidikan.
“Dalam konteks transformasi, pastinya ada kekangan yang dihadapi, namun kita perlu berusaha untuk melaksanakan perubahan mengikut kesesuaian dengan lingkungan kekangan yang ada secara kreatif dan inovatif.
“Ini demi menyediakan sistem pendidikan yang lebih berdaya saing dan seiring dengan keperluan semasa. Kami di sini untuk memberi sokongan kepada generasi akan datang,” ujar beliau.
Tambah beliau, organisasi yang hebat dan cemerlang tidak menjadikan kekangan sebagai halangan sebaliknya terus bekerja keras dan berusaha mengoptimumkan keberhasilan demi generasi pewaris negara.
“Tahniah kepada IAB atas penganjuran seminar yang amat bermakna ini.
“Semoga seminar dengan tema Kepimpinan Pendidikan Pasca Pandemik Covid-19 Dalam Melestarikan Kualiti Pendidikan ini berupaya membangunkan kepimpinan dan organisasi pendidikan yang berkualiti dan cemerlang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.