BALING – Penduduk di Kampung Masjid Iboi di sini terkejut apabila kawasan perkampungan tersebut dilanda banjir kilat dengan beberapa rumah dikatakan ranap dan hanyut dalam kejadian pada petang ini.
Rakaman siaran langsung Facebook oleh pemilik akaun, Mohd. Mokhtar Che Man memaparkan keadaan sungai yang deras dan melimpah ke kawasan rumah penduduk.
Dalam rakaman itu, pemilik akaun tersebut turut mendakwa terdapat rumah yang terletak di tebing sungai serta jambatan lenyap akibat dihanyutkan arus deras seperti kepala air.
Selain itu, turut kelihatan beberapa kenderaan, batang pokok dan tiang elektrik yang tersadai di beberapa lokasi di situ.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.27 petang.
“Kejadian banjir kilat ini melibatkan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas dalam mukim Kupang di sini.
“Kita masih menyiasat lanjut jumlah rumah yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hujan lebat selama tiga jam bermula pukul 2 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.
“Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling kemudian membuat tinjauan ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa rumah dimasuki air susulan banjir kilat tersebut, tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.