KUALA LUMPUR – Shoraka Digital Ventures melalui anak syarikatnya, Shoraka Suyula Platform (SSP) telah memperoleh lesen inovasi daripada Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) untuk beroperasi di salah sebuah pusat kewangan global terkemuka di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara (MEASA).
Pengarah Urusan Shoraka DV, Johar Amat berkata, usaha mendapatkan lesen ini merupakan langkah pertama yang penting bagi perluasan syarikat di rantau ini.
Menurut beliau, kehadiran syarikat di salah sebuah hab fintech paling aktif di dunia akan membolehkan SSP, syarikat pemula fintech mengendali Platform Re-Rahnu, memanfaatkan bakat berkemahiran di pasaran global dan rangkaian luas yang tersedia di DIFC Fintech Hive.
“Lesen ini akan menjadi medium yang bakal membawa Shoraka Suyula Platform dalam perjalanannya untuk melangkaui Asia Tenggara.
“Ia juga menandakan satu lagi peristiwa penting bagi SSP dalam pelan pengembangan globalnya di luar pasaran Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Shoraka DV adalah cabang teknologi digital di bawah Shoraka Group dan ia merupakan sebuah syarikat yang berasal dari Malaysia yang menawarkan perkhidmatan industri teknologi digital.
Shoraka DV juga membina beberapa platform Fintech yang tersendiri seperti Shoraka Suyula Platform. -KOSMO! ONLINE