PEMINAT bola sepak tempatan masih berpeluang untuk menyaksikan ulangan final Piala Malaysia antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan berada di laluan berasingan pada undian suku akhir Piala FA musim ini.
Bagaimanapun, KL City terlebih dahulu perlu bermain aksi pusingan kedua menentang Selangor, Jumaat ini sebelum boleh memikirkan pertemuan suku akhir bertemu Sabah di Stadium Likas.
Pada undian dilakukan semalam, pertemuan JDT dan Melaka United menjadi aksi tumpuan memandangkan Harimau Selatan pastinya membawa misi tebus kecewa di Stadium Hang Jebat selepas seri 1-1 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Sementara itu, pemenang antara Terengganu dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok akan melayan kunjungan wakil tunggal Liga Premier, Kuching City.
Satu lagi aksi suku akhir akan mempertemukan juara tiga kali, Sri Pahang dan Penang FC.
Untuk rekod, Selangor dan Kedah muncul pasukan paling berjaya apabila memenangi Piala FA sebanyak lima kali dan pemenang kali ini bakal menjamin slot ke Piala AFC tahun depan.