fbpx

Rakyat tertekan, ini bukan masa hendak berseloroh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.- FOTO/RASUL AZLI SAMAD

Tular minggu lalu, saranan pegawai kanan kerajaan yang meminta rakyat kurangkan makan telur berikutan harga bahan penting itu meningkat.

Katanya, jika sebelum ini makan 15 biji, pengguna perlu kurangkan menjadi 10 atau lima biji sahaja.

Kata-kata pegawai berkenaan menjadi perdebatan hangat netizen yang antara lain meminta dirinya cakna dan sensitif tentang krisis kenaikan harga barang yang dihadapi pengguna ketika ini.

Ada yang melontarkan pertanyaan sama ada mereka juga perlu kurangkan makan ayam berikutan harga siling bahan mentah itu naik 50 sen sekilogram.

Malah ada yang seloroh apabila meminta orang ramai menukar gaya masak dengan kukus atau panggang sahaja bagi mengatasi kenaikan harga minyak masak botol antara RM2 hingga RM13 sebotol. Sudahlah minyak peket ibarat pisang goreng panas.

Lucu kedengarannya tapi inilah luahan pengguna yang dihimpit kesan kenaikan harga barang.

Biarpun pegawai itu mempunyai asas tersendiri berhubung kata-katanya, namun contoh yang diambil tidak boleh diterima.

Insiden terlanjur kata dalam mengeluarkan kenyataan sebegini bukan pertama kali berlaku ketika mana kenaikan harga barangan menekan kehidupan rakyat.

Ibarat kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata susah untuk diperbetulkan.

Kata-kata ini mengingatkan penulis mengenai saranan jangan makan ayam sebelum ini kerana haiwan itu mahal termasuk tanam sayur di rumah bagi mengurangkan belanja dapur.

Bagi golongan B40, telur adalah bahan mentah penting yang perlu ada di rumah selain beras. Jika terputus bekalan ayam dan ikan, telur boleh digoreng, rebus dan mengenyangkan.

Telur merupakan sumber protein yang murah dan menjimatkan. Jika disuruh kurangkan telur adakah golongan B40 terutamanya mampu membeli ayam dan ikan lebih-lebih lagi daging.

Pada saat infalsi ini, apa yang diharapkan rakyat adalah penguat kuasa membantu dalam memastikan peniaga, pembekal dan pemborong mematuhi harga siling. Putuskan rantaian yang membebankan dan tindakan tegas kepada mereka yang mencatut.

Selain belanja dapur yang meningkat antara 30 hingga 50 peratus, belanja sekolah juga tidak kurang hebatnya.

Berapa agaknya sehari belanja sekolah mereka. RM5 atau RM7 atau RM10? Pastinya bukan RM3 seperti penulis dahulu.

Nasi ayam juga sudah RM3, telur goreng RM1.50. Bagi pelajar dua sesi pula, berapa agaknya belanja mereka.

Kisah ini tidak terhenti di sini apabila rata-rata ibu bapa berdebar menunggu sama ada pengusaha bas sekolah akan menaikkan harga tambang mereka.

Sebelum ini kecoh katanya Julai, kenaikan harga tambang akibat kos penyelenggaraan. Nampaknya makin bertambah lagi perbelanjaan bulanan. Penulis harap ia tidak berlaku. Tepuk dada tanya selera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI