RIYADH – Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) melaporkan suhu maksimum waktu siang di kota suci Mekah pada musim haji 2022 dijangka mencecah antara 42 hingga 44 darjah Celsius, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
NCM berkata, tiupan angin diramal berlaku di tempat suci itu pada waktu siang.
Tiupan angin pada kelajuan sehingga 35 kilometer sejam itu akan menyebabkan habuk berterbangan di udara terutama di kawasan terbuka dan lebuh raya.
“Arah angin secara amnya adalah dari barat laut ke barat” kata NCM.
Walaupun awan ribut petir dan hujan berkemungkinan terbentuk di kawasan-kawasan tanah tinggi di wilayah selatan Mekah dari 9 hingga 13 Zulhijjah (8 Julai -12 Julai), angin aktif berdebu diramal masih melanda tempat-tempat suci di Mekah.
Dalam pada itu, Buletin Al-Mashaer yang diterbitkan oleh Kementerian Haji pada tahun 1429 Hijrah dengan tajuk Klasifikasi Tahun Haji dari 1201 Hijrah hingga 1500 Hijrah menyatakan bahawa haji tahun ini adalah kedua terakhir dilakukan pada musim panas.
Kitaran musim panas itu genap tujuh tahun yang bermula pada 1437 Hijrah (2015) dan akan berakhir pada musim haji tahun 1444 Hijrah (2022). – Agensi