Oleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU – The Red Warriors Kelantan FC (TRW Kelantan FC) merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak United
pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV disini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, TRW Kelantan FC bermula dengan baik apabila hampir meledakkan gol pertama pada minit ke-8, namun Felix Odili gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Minit ke-13, Milad Zanidpour mempersia-siakan peluang terbaik Sarawak United untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti yang dilakukannya sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Kedua-dua pasukan selepas itu saling berbalas-balas serangan, namun dipisahkan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Masuk minit ke-38, Lazarus Kaimbi yang tidak dikawal hampir-hampir meletakkan TRW Kelantan FC di hadapan selepas berjaya melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti pelawat namun, Shaiful Wazizi Mohammad lebih tangkas untuk menyelamatkan gawang golnya daripada dibocori.
Empat minit berselang, giliran Mohammad Fikri Che Soh pula menjadi wira TRW Kelantan FC apabila pantas menafikan rembatan kencang Patrick Ronaldhinho untuk memecah kebuntuan pada perlawanan tersebut.
Bersambung babak kedua, pelawat mempamerkan aksi lebih bertenaga dan hampir memecahkan kebuntuan jaringan menerusi rembatan kencang Patrick Ronaldinho pada minit ke-53 namun Mohammad Fikri berjaya menyelamatkan situasi bahaya itu.
Tersentak dengan asakan bertali arus pelawat, TRW Kelantan FC kembali memperkemaskan corak perlawanan menerusi beberapa percubaan menarik ke kubu Sarawak United.
Peluang memecahkan kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-59 menerusi rembatan kencang dari jarak 20 meter oleh
pemain sayap TRW Kelantan FC, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria tapi sayang sekadar melewati gawang gol Sarawak United.
Kapten Sarawak United, Mohd. Amri Yahya menjadi pemain paling kecewa apabila rembatan kencangnya pada minit ke-78 sekadar singgah di palang gol meskipun penjaga gawang tuan rumah, Mohammad Fakri sudah pun tertewas ketika itu.
Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya kunjung tiba apabila pemain gantian, Mohd. Nazrin Nawi tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 selepas Wan Zaharul Nizam dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum itu.
Sarawak United cuba bangkit selepas itu namun sudah terlewat untuk menyekat kemenangan TRW Kelantan FC.