BEIJING – Sejumlah 1.7 juta orang dikenakan perintah berkurung di wilayah Anhui, tengah China, di mana pihak berkuasa melaporkan hampir 300 kes baharu hari ini dalam wabak terbaharu yang menguji pendekatan toleransi sifar pemerintah terhadap Covid-19.
China adalah kuasa ekonomi utama terakhir yang melaksanakan strategi sifar Covid dengan menguatkuasakan arahan pengasingan ketat dan kempen ujian saringan besar-besaran.
Wabak di Anhui itu berlaku ketika ekonomi China mula pulih daripada perintah berkurung lebih sebulan di Shanghai dan ibu kota, Beijing.
Dua daerah di wilayah berkenaan iaitu Sixian dan Lingbi mengumumkan perintah berkurung pada minggu lalu dengan lebih 1.7 juta penduduk dibenarkan meninggalkan kediaman mereka hanya untuk menjalani ujian saringan.
Rakaman daripada badan penyiaran rasmi, CCTV memaparkan jalan-jalan lengang di Sixian pada hujung minggu lalu dan orang ramai berbaris untuk ujian saringan massa keenam dalam tempoh beberapa hari.
Wilayah itu melaporkan sebanyak 287 jangkitan hari ini, termasuk 285 orang yang tidak mengalami apa-apa simptom, demikian menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, menjadikan jumlah kes Covid-19 keseluruhan meningkat lebih 1,000.
Wilayah jirannya, Jiangsu juga melaporkan 56 jangkitan tempatan baharu melibatkan empat buah bandar hari ini. – AFP