PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memohon orang awam daripada membeli dan menggunakan tiga produk keluaran BL Skincare dan satu produk Biela Beauty ekoran dilaporkan mempunyai racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan serta tidak lagi dibenarkan untuk di jual di negara ini.
“Produk terlibat ialah Biela Beauty Glowing Night Cream di mana dilaporkan mempunyai merkuri selain BL Skincare Day Cream 1, BL Skincare Day Cream 2 dan BL Skincare Night Cream yang mempunyai merkuri, hydroquinone serta tretinoin.
“Penjual serta pengedar produk tersebut perlu menghentikan penjualan secara serta-merta susulan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Dr. Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman dan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
“Produk yang mengandungi hydroquinone serta tretinoin merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah selain boleh digunakan selepas mendapat nasihat ahli profesional kesihatan.
“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit selain meningkatkan risiko kanser manakala penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh mengundang risiko tidak selesa, pedih dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE