fbpx

Buruh nekad lapan hari rentas Hutan Krayan untuk pulang ke kampung halaman di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUTAN Krayan yang bersempadan antara Malaysia dan Kalimantan di Indonesia. – Google Image

NUNUKAN – Seorang buruh binaan nekad berjalan meredah Hutan Krayan di sempadan Sarawak untuk pulang ke kampung halamannya di Kalimantan, Indonesia selepas ditipu majikan Malaysia awal bulan ini.

Syamsuddin, 51, menempuh perjalanan lapan hari di dalam hutan dengan berbekalkan air, garam dan serbuk Monosodium Glutamat (MSG).

Menurut laporan portal Kompas, isteri Syamsuddin, Nursiah memberitahu, suaminya ter­desak untuk pulang ke kampung halaman selepas kecewa tidak dibayar gaji sejak bekerja di Malaysia, sebulan lalu.

Katanya, Syamsuddin yang sembilan tahun bekerja sebagai buruh binaan di Krayan, berpindah ke Malaysia Ogos lalu selepas menerima tawaran bekerja di sana.

Bagaimanapun, nasibnya kurang baik kerana ditipu maji­kan. Dia tidak diberi upah atau wang untuk membeli makanan.

“Suami berasa sangat tertekan dengan keadaan itu dan mengambil keputusan kembali kepada pekerjaan lama di Kali­mantan.

“Dia tidak mempunyai wang untuk pulang menerusi laluan biasa, jadi dia nekad meredah Hutan Krayan yang menghubungkan sempadan Malaysia-Indonesia,” jelasnya.

Kata Nursiah, sepanjang lapan hari berjalan meredah hutan, suaminya tidak bertembung de­ngan binatang buas atau diganggu perkara pelik.

“Suami memberitahu dia cuma kelaparan kerana hanya menelan serbuk MSG dan garam sebagai makanan, tetapi tidak pernah dikejar binatang buas.

“Mungkin Tuhan melindungi dia kerana suami saya menjaga solat dan tidak meninggalkan kewajipan itu walaupun semasa berada dalam hutan,” tuturnya lagi.

Keluarga Syamsuddin membuat laporan orang hilang kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Nunukan pada 16 September lalu apabila tidak menerima sebarang khabar sejak suaminya meredah hutan.

Pada 23 September lalu, Syam­suddin ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan oleh penduduk Kampung Krayan sekali gus menamatkan misi berjalan kaki pulang ke Indonesia.

Lelaki itu disatukan dengan keluarganya dan menurut Nursiah, suaminya menyatakan ke­sediaan kembali bekerja seperti biasa.

“Dia memberitahu, badannya kembali sihat dan ada orang mahu memberikan dia projek bangunan untuk diuruskan.

“Kami sekeluarga gembira ke­rana dia selamat dan tidak cedera ketika meredah hutan tempoh hari,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI