GOMBAK – Cubaan seorang lelaki warga asing untuk menyamun mangsa berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya terbunuh selepas berlaku pergelutan dalam kejadian di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima panggilan kira-kira pukul 8.08 pagi memaklumkan seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di atas jalan raya.
“Siasatan di tempat kejadian menemui seorang lelaki warga asing berumur 50 tahun (suspek) tertiarap di atas jalan dan terdapat sebilah sabit panjang pada genggaman tangan kanannya.
“Seorang lagi lelaki yang juga warga asing berumur 48 tahun (mangsa) pula telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati semasa kejadian suspek telah datang ke premis dan berbual-bual dengan mangsa sebelum dia disyaki bertindak menyerang mangsa dengan menetak menggunakan sabit panjang beberapa kali.
“Mangsa telah mengambil sebuah kerusi plastik untuk mempertahankan diri namun, senjata yang digunakan suspek dipercayai telah terkena pada bahagian peha kirinya sendiri,” katanya.
Ujar beliau lagi, suspek terus berlari ke arah luar premis sebelum rebah di atas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian.
Katanya, pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh yang tiba di tempat kejadian mengesahkan suspek sudah meninggal dunia.
“Manakala mangsa yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan juga disahkan turut meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari.
“Motif kejadian disyaki cubaan samun sehingga menyebabkan kematian dan kes dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek yang terlibat dalam kejadian telah meninggal dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE