TAIPING – Seorang remaja lelaki lemas setelah mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Pecah Batu, Trong di sini kira-kira pukul 11.30 pagi hari ini.
Jurucakap Bomba Perak berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 11.49 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Seramai 13 orang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping menaiki tiga jenis kenderaan bergegas ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa, Nur Fakhrul Razi Norazlan, 16, yang beralamat di Taman Cempaka, Kampung Koh, Sitiawan masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya terus melakukan operasi mencari dan menyelamat di kawasan sekitar air terjun dengan mengunakan kaedah balingan besi pencangkuk.
“Setelah membuat beberapa kali balingan, mayat mangsa telah berjaya ditemui sebelum dibawa naik lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan ĺanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mengambil masa sekitar satu jam setengah dan dihentikan pada pukul 1.58 petang. – KOSMO! ONLINE