SABAK BERNAM – UMNO akan mengenal pasti calon heavyweight yang berpotensi besar untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan veteran parti itu supaya meletakkan calon berkenaan untuk bertanding termasuk di Selangor.
“Kita yakin itu (calon heavyweight) satu kriteria yang benar tetapi ianya amat subjektif.
“Saya pastinya bersetuju dengan pandangan itu dan kita akan mengenalpasti calon-calon heavyweight nanti,” katanya ketika ditemui pada program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 Bersama Presiden UMNO di MSekin Wonderland, Sekinchan di sini, hari ini.
Kosmo! terdahulu melaporkan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyambut baik cadangan pemimpin veteran UMNO supaya calon ‘heavyweight’ diberi peluang bertanding di negeri ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, cadangan meletakkan calon heavyweight memerlukan kerjasama semua pihak dan kerja kuat akar umbi parti.
“Tokoh pemimpin yang bakal bertanding itu perlu mempunyai nama dan rekod yang bersih.
“Apa yang penting adalah memastikan BN berjaya dirampas semula di Selangor,” katanya. -KOSMO! ONLINE