KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun, perseorangan wanita No.1 Thailand, Ratchanok Intanon kembali merampas gelaran Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain China, Chen Yu Fei.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi, juara dunia 2013 itu terpaksa bermandi peluh sebelum menjinakkan Yu Fei menerusi kemenangan 21-15, 13-21, 21-16.
Kemenangan itu juga menjadi detik manis buat juara Asia 2015 itu selepas kali terakhir muncul juara 30 bulan lalu ketika menyertai kejohanan Indonesia Masters yang berlangsung Januari 2020.
“Saya gembira dengan kemenangan hari ini selepas agak lama tidak memenangi kejohanan. Sebelum Terbuka Malaysia bermula, saya sentiasa cakap pada diri sendiri saya sentiasa ada peluang untuk jadi juara.
“Hari ini saya dapat menampilkan permainan sebenar dan mengawal mentaliti. Selain itu, ini adalah perlawanan terakhir untuk saya minggu ini, jadi saya kerah segala-galanya,” kata Ratchanok selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, gandingan No.133 dunia dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti meraih gelaran juara selepas menewaskan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 12-21, 21-19.
Sebagai rekod, kemenangan itu merupakan gelaran sulung buat Apriyani-Fadia dalam tiga kejohanan selepas digandingkan buat kali pertama pada Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia.
Dalam pada itu, acara beregu campuran menyaksikan China mempertahankan gelaran buat kali ketiga berturut-turut selepas Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong mengenepikan cabaran gandingan No.1 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-13, 21-18.- KOSMO! ONLINE