fbpx

Harga minyak sawit mentah tak turun bawah RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida memberi jaminan harga minyak sawit mentah tidak akan menurun melebihi RM4,500 per tan.

ALOR GAJAH – Kerajaan memberi jaminan harga minyak sawit mentah (MSM) tidak akan menyusut melebihi paras RM4,500 satu tan mengikut pasaran norma baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penurunan itu telah dijangka, namun ia berlaku lebih awal berbanding jangkaan sepatutnya iaitu pada penghujung tahun ini.

Katanya, pihaknya bagaimanapun memberi jaminan harga minyak sawit mentah hanya akan menyusut sekitar RM5,000 sehingga RM4,500 dan tidak melebihi paras tersebut.

“Harga sawit tidaklah jatuh sampai ke tahap RM2,500 (satu tan) seperti dulu, kita pun memang telah menjangkakan penyusutan kepada RM5,000 sehingga RM4,500 dalam norma baharu.

“Ini paras yang baik dengan dalam keadaan hari ini cuma ia berlaku lebih awal berbanding jangkaan iaitu pada hujung tahun,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di ladang koko di Panchor di sini hari ini.

Tambahnya, penyusutan itu juga disebabkan situasi pasaran global yang tidak stabil termasuk tindakan Indonesia menghentikan pengeksportan minyak sawit pada Mei lalu dan perang Rusia-Ukraine.

“Situasi Indonesia menghentikan sekejap bekalan minyak sawit kemudian perang Rusia-Ukraine mengakibatkan kita punya harga sawit mula turun.

“Tapi tak akan lebih rendah dari RM4,500 dan saya jangka dia akan naik balik, apa-apa pun pengusaha kebun sawit masih lagi memperoleh hasil pada harga tinggi, dapat pendapatan yang tinggi,” katanya.

Untuk rekod, mengikut laman rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia sehingga 30 Jun lalu harga MSM berada pada paras RM5,065 satu tan dengan purata sebulan RM6,106.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI