BENTONG – Penetapan harga siling ayam bermula 1 Julai lalu dipatuhi oleh rata-rata peniaga yang didapati tidak menjual melebihi harga ditetapkan.
Meskipun boleh menjual dengan harga RM9.40 sekilogram, namun masih ada peniaga tidak menaikkan harga sebaliknya menjual dengan harga yang lebih rendah.
Tinjauan Kosmo! di Pasar Segar Bentong Segar Enterprise, di sini mendapati, ayam masih dijual pada harga RM8.90 sekilogram seperti harga kawalan ditetapkan sebelum ini.
Jurucakap Bentong Segar berkata, mereka masih menjual dengan harga RM8.90 memandangkan harga yang diterima daripada pembekal masih sama seperti sebelum ini.
“Kami tidak mahu mengambil kesempatan menaikkan harga kerana tidak mahu membebankan pengguna, selagi pembekal tidak menaikkan harga, kami akan terus menjual dengan harga seperti ini.
“Pada masa ini saya dapati bekalan ayam masih banyak dan mencukupi, malah saya tidak mendengar pembekal mahu menaikkan harga dalam tempoh terdekat,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, Bentong Segar mendapat bekalan ayam daripada pembekal dan penternak di Sertik di sini, yang dijamin halal dari segi sembelihan.
Seorang pelanggan, Aziz Abdullah, 50, berkata, dia terkejut apabila Bentong Segar masih mampu menjual dengan harga yang rendah daripada harga siling ditetapkan.
Katanya, dia berharap harga ayam yang menjadi antara makanan utama rakyat di negara ini dapat dijual lebih rendah daripada harga siling ditetapkan mengambil kira beban masyarakat pada masa ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Bentong Segar yang jujur dalam perniagaan dengan tidak mengambil kesempatan menaikan harga ayam,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di sebuah pasar raya lain di daerah ini mendapati ayam dijual pada harga siling iaitu sebanyak RM9.40 sekilogram dan bekalan ayam juga masih banyak.