fbpx

WEZAS UPSI agih RM1.2 juta bantuan kepada mahasiswa B40 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norkhalid (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Nurul Aina Najwa (tengah) sambil diperhatikan Rosliza @ Rosli (dua dari kanan) semasa program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak hari ini. - FOTO: IHSAN UPSI

PASIR SALAK – Bagi menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyuburkan pendidikan kepada seluruh golongan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan pusat Wakaf Endowment Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI sejak 2017.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin, terdapat tiga fokus utama WEZAS dalam pembangunan pelajar iaitu melalui dana zakat, pembangunan fizikal melalui dana wakaf serta pembangunan akademik dan penyelidikan menerusi dana endowmen.

“Ketiga-tiga fokus ini adalah sasaran utama penunjuk indeks utama WEZAS bagi 2022 dengan memberi keutamaan pengagihan zakat kepada mahasiswa B40 agar mereka dapat menjalankan pembelajaran dengan sempurna semasa tempoh pengajian,” jelasnya ketika menyerahkan sumbangan komputer riba kepada dua pelajar UPSI sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato’ Sagor di sini hari ini.

Menurut Norkhalid, menerusi inisiatif wakaf pula, UPSI mengutamakan pembangunan fizikal iaitu prasarana melalui sumbangan awam, manakala pendapatan menerusi endowmen pula ialah menyediakan tajaan dan pembiayaan bagi kecemerlangan akademik serta penyelidikan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah WEZAS UPSI, Dr. Rosliza @ Rosli Mahmud berkata, universiti itu akan terus memperkukuhkan dana zakat bagi membantu melahirkan generasi asnaf dan golongan B40 yang cemerlang.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff pula berkata, melalui inisiatif itu juga, WEZAS UPSI telah mengagihkan pendapatan sebanyak RM 1.2 juta pada tahun ini kepada warganya yang terdiri daripada mahasiswa golongan B40, asnaf dan yang memerlukan.

Memanjatkan rasa syukur atas penerimaan sumbangan komputer riba, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Nurul Aina Najwa Mohamad Razib, 22, akan memanfaatkan sebaik-baiknya pemberian tersebut untuk meneruskan pengajiannya.

“Alhamdulillah, jika sebelum ini saya perlu berkongsi penggunaan komputer riba dengan abang untuk menjalani pengajian secara dalam talian, namun saya amat bersyukur dengan adanya komputer riba ini.

“Ia sekali gus menaikkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk capai cita-cita saya. Mana tahu selesai pengajian nanti, saya dapat gunakannya dalam pengajian ijazah sarjana pula,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI