fbpx

Berdiam diri punca penyakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

APABILA berbicara tentang tekanan di tempat kerja, pastinya setiap individu mempunyai pandangan tersendiri. Mungkin ada berdepan masalah disebabkan bebanan tugas melampau ataupun dibelenggu persekitaran toksik hingga menjejaskan prestasi harian.

Walaupun sesetengah individu mungkin beranggapan masalah itu sebagai asam garam alam pekerjaan, namun jika di­biarkan terus, kesannya mampu menjadi lebih parah meskipun awalnya hanya dianggap sebagai norma kehidupan dewasa.

Secara konsep, masalah mental bukan sahaja menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, namun turut mempe­ngaruhi tingkah laku seseorang hingga mengakibatkan gangguan dalam menjalani aktiviti seha­rian dengan baik.

Lebih membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini turut menggesa semua negara meningkatkan pelaburan dalam kesihatan mental ekoran hampir satu bilion manusia dilaporkan sedang bergelut dengan masalah itu ketika ini.

Susulan itu, individu yang mempunyai tekanan di tempat kerja perlu bertindak segera de­ngan mencari rakan terdekat bagi berkongsi masalah. Jangan pendam, kerana kesannya akan menjadi lebih parah.

Menurut Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia, Norazlinda Muda, setiap individu mengalami masalah di tempat kerja secara berbeza dan mereka perlu me­ngatasinya mengikuti keupayaan masing-masing.

“Apabila berasa tertekan se­perti di tempat kerja, kita perlu mencari penyele­saian menga­tasinya dan jangan biar­kan pe­rasan itu selama berminggu-­minggu kerana bakal mengundang kepada risiko gangguan mental se­perti kemurungan melampau.

“Masalah itu perlu ditangani di peringkat awal dan jangan di­biarkan terlalu lama. Jika rasa tertekan sehari atau dua, ia masih boleh diterima, namun jika lebih dua minggu, mungkin dianggap serius dan perlu mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Susulan itu, Norazlinda turut menggariskan beberapa kaedah yang boleh digunakan seseorang jika mereka berdepan tekanan di tempat kerja sekali gus menjadi penyelamat awal kepada masalah gangguan mental.

Antara disaran kepada orang ramai termasuklah perlu mempunyai kumpulan sokongan terdiri daripada kawan-kawan atau pasangan bagi mendengar permasalahan berlaku seterusnya berupaya mengurangkan tekanan yang tercetus.

“Selain itu, individu terlibat juga boleh menggunakan kaedah kawalan pernafasan apabila tertekan kerana ia mampu me­ningkatkan keupayaan berfikir serta membuat diri menjadi lebih tenang.

“Pada masa sama, mereka juga perlu sentiasa menjaga pemakanan dan melakukan senaman harian bagi mengawal hormon dalam badan seterusnya berupaya mengurangkan tekanan dialami,” jelasnya.

Kesimpulannya, bertindaklah segera, jangan pendam tekanan yang dihadapi anda di tempat kerja. Cari rakan untuk ber­kongsi, sekurangnya ia sedikit melegakan daripada terus menyim­pan rasa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI