JERANTUT – Dua wanita terpaksa melupakan seketika rancangan masa depan mereka semata-mata hendak menjaga adik yang kini terlantar akibat ketumbuhan dan bapa yang menghidap sakit kronik.
Noor Ain Momin, 27, dan kakaknya, Noor Azlina, 31, terpaksa menjaga adik, Muhammad Ridwan yang tidak mampu bergerak sejak lima tahun lalu.
Noor Azlina berkata, selain adik, bapa mereka, Momin Rejab, 77, juga perlu diberi perhatian kerana menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
“Adik mengalami ketumbuhan otak dan hanya mampu terlantar. Kami perlu menjaga adik sepenuh masa.
“Sejak 2017, kami kerap berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk membuat pemeriksaan dan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini baru-baru ini.
Menurut Noor Azlina, penyakit Muhammad Ridwan dikesan apabila adiknya tiba-tiba terjatuh dan pengsan di rumah.
Katanya, sejak itu dia telah dibedah sebanyak tiga kali dan terbaharu pada Mei lalu.
“Kini sebahagian tempurung kepala adik telah dibuang,” katanya.
Ujar Noor Azlina, dia terpaksa berhenti bekerja di sebuah pasar raya di Temerloh, manakala adiknya Noor Ain bekerja mengambil upah menjahit pakaian di rumah secara kecil-kecilan dengan upah RM300 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500.
“Kami berbelanja sebanyak RM1,500 sebulan dan kadang kala berlebih,” katanya.
Sehubungan itu, Noor Azlina berharap agar ada pihak yang sudi membantu mereka bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Ain di talian 011-2540 9790 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Affin Islamic Bank, Noor Azlina Momin bernombor 205130910166.