fbpx

Kos sara hidup meningkat: Kerajaan tak peluk tubuh – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) melakukan gimik perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

PASIR SALAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan terhadap kos sara hidup yang meningkat ketika ini.

Menurutnya, kerajaan sedar banyak barangan meningkat harganya ketika ini, bahkan beliau sendiri melakukan tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri kenaikan harga tersebut.

“Fenomena kenaikan harga barang ini tidak berlaku di Malaysia semata-mata tetapi ini merupakan fenomena global dan Malaysia tidak terkecuali. Ini kerana kita berkait rapat dengan negara-negara lain di dunia ini.

“Malaysia merupakan negara pengimport yang besar kepada produk makanan, malah dari segi bahan-bahan mentah untuk makanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas demonstrasi berkaitan kenaikan kos sara hidup yang dilakukan sebuah parti politik di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai contoh, Ismail Sabri berkata, Malaysia merupakan negara pengeksport ayam dan tidak mengimport komoditi tersebut memandangkan pengeluarannya berada pada 113 peratus tahap sara diri (SSL).

Bagaimanapun, 70 peratus daripada kos pengeluaran ayam disumbangkan daripada makanan haiwan tersebut.

“Untuk memastikan harga tidak naik, kerajaan subsidikan makanan dan harga ayam. RM700 juta disubsidi oleh kerajaan untuk pastikan harga ayam rendah dan harga siling kekal pada paras RM8.90.

“Begitu juga dengan harga barang keperluan asas yang lain. Kerajaan berbelanja RM70 bilion untuk memastikan beberapa barang keperluan asas tidak naik. Minyak petrol dan diesel, RON95 disubsidi oleh kerajaan sebanyak RM28 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI