fbpx

Sindiket seleweng diesel di tengah laut tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan rampasan lori tangki yang disyaki digunakan sindiket untuk menyeludup minyak diesel di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Kegiatan satu sindiket menjual minyak diesel di tengah laut ke pasaran gelap menggunakan kapal tangki terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejayaan dalam Op Bersepadu Kontraban pada pukul 11 malam itu berjaya membawa kepada rampasan bernilai keseluruhan RM14.45 juta.

Katanya, antara yang dirampas adalah sebuah kapal tangki, minyak diesel 138,000 liter, empat buah tangki treler, empat unit pam penyedut minyak, set generator juga sebuah Toyota Vios.

“Operasi khas itu turut berjaya menahan seramai 13 individu terdiri daripada empat lelaki warga tempatan dan sembilan lelaki warganegara asing berumur lingkungan 18 hingga 62 tahun di sebuah premis yang dijadikan tempat transit penyeludupan minyak diesel tersebut.

“Kita juga berjaya menyita hampir 138,000 liter minyak diesel dimana keuntungan yang diambil sindiket dari setiap liter adalah sebanyak RM1. Bagi modus operandi pula, mereka menjalankan kegiatan ini setiap tiga hari sekali, membawa minyak diesel ke pasaran gelap dan jual dengan harga lebih tinggi.

“Minyak dibawa menggunakan kapal tangki dan dijual di tengah laut kepada pasaran antarabangsa dan juga tempatan. Minyak disyaki diperolehi dari sekitar Johor dan juga luar Johor namun masih dalam siasatan kita,”katanya pada sidang akhbar di lokasi rampasan hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan telah aktif beroperasi kira-kira sebulan lalu dengan menjual minyak diesel pada harga RM3 lebih setiap satu liter.

Katanya, pihak polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti pemilik premis dan dari pemerhatian sindiket tersebut bukan sindiket baru meskipun peralatan digunakan adalah baru.

“Mereka mensasarkan jual kepada pasaran antarabangsa kerana harga minyak di luar negara mahal. Tambahan pula laluan ini merupakan laluan air dari Terminal Feri Stulang ke Batam dan ini adalah laluan antarabangsa.

“Semua suspek ditahan juga adalah termasuk dalang dan kini sedang direman. Semakan rekod ke atas kesemua suspek juga mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau dan dihukum dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,”katanya lagi.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata sejak Januari 2022 sehingga 2 Julai 2022 Polis Marin Wilayah 2 telah membuat rampasan sebanyak 820,959 liter minyak diesel dengan nilai anggaran RM1.7 juta.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI