PETALING JAYA – Fenomena filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang masih ditayangkan di layar perak seluruh negara terus mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian di Facebook Syukrie Sufian, dia meluahkan kekecewaan apabila pengalamannya hadir ke pawagam berubah menjadi sebaliknya.
Menurutnya, dia dan pasangan telah dihalau oleh individu lain yang mengambil tempat duduk mereka gara-gara kerana lewat masuk ke pawagam.
“Saya beli tiket sehari sebelum waktu tayangan. Bila sampai, kami lihat hall (dewan) dah penuh dan tayangan telah bermula. Namun, apabila menghampiri barisan kami, malangnya ia telah dipenuhi dengan ‘satu keluarga’.
“Kami jadi pelik, salah masuk dewan ke? Bila nak ke tempat duduk tu, tiba-tiba ada suara berkata, ‘dah penuh la, pergi duduk di atas’,” katanya dalam satu hantaran.
Berikutan itu, kedua-dua invdividu terbabit terpaksa duduk di tempat duduk yang mana ia bukan milik mereka.
“Kami rasa tidak selesa kerana risau ambil hak orang lain. Jadi kami pun menonton dengan pengalaman yang tak seronok dan gelisah,” ujarnya.
Susulan daripada itu, rata-rata orang ramai menyifatkan perkara itu sebagai satu perbuatan yang buruk dan mementingkan diri sendiri.
“Betul, Saya setuju. Soal mengambil hak org lain memang satu perbuatan yang buruk. Itu soal adab dan hak. Nampak remeh tetapi berat esok pengadilannya di sana,” kata Hasnida.
“Kalau jadi pada saya memang silap la. Peduli apa masuk lambat atau tak, hak tetap hak. Saya akan tuntut sampai dapat. Kecoh pun kecoh la, janji menang,” ujar Aweh. – KOSMO! ONLINE