SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi kritikal dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU),Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu melibatkan kereta jenis Perodua Axia, Alza dan Honda City.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Axia membelok ke kanan sebelum dilanggar pemandu Honda City yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan.
“Seorang penumpang Perodua Axia yang juga lelaki berketurunan Cina berusia 29 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala seorang lagi penumpang kritikal.
“Pemandu Perodua Axia hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, kes tersebut akan disiasat di bawah bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE