fbpx

Sekurang-kurangnya 20 maut dalam tanah runtuh di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera mengusung mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Noney. – ANI

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban, manakala 44 lagi dikhuatiri tertimbus dalam bencana tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan laluan kereta api di daerah Noney, negeri Manipur di India.

Menurut  saluran televisyen Times Now, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Mangsa tragedi itu tertimbus sejak  Rabu lalu.

Ketua Pengarah Polis, P. Doungel berkata, seramai 38 orang  te­lah dikeluarkan dari bawah runtuhan dengan 20 daripada mereka meninggal dunia.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Kami tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar mangsa  yang tertimbus.

“Namun setakat ini (kelmarin), 60 daripada mereka  (yang tertimbus) terdiri daripada penduduk kampung, anggota tentera dan petugas laluan kereta api serta buruh,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dilaporkan berdepan kesukaran disebabkan hujan dan beberapa faktor lain.

Tentera India dalam satu kenyataan berkata, pasukan Assam Rifles dan tentera sukarela menjalankan operasi menyelamat sepanjang hari meskipun dalam keadaan cuaca buruk.

Turut diselamatkan setakat ini adalah 13 anggota tentera sukarela dan lima orang awam.

Perdana Menteri Narendra Modi menilai situasi tanah runtuh tersebut pada Khamis lalu  dan berjanji akan menyalurkan bantuan.

“Saya telah bercakap dengan Ketua Menteri N. Biren Singh dan menilai situasi semasa bagi kejadian tanah runtuh ini.

“Saya memberi jaminan bagi bantuan daripada kerajaan pusat dan berdoa untuk keselamatan mangsa-mangsa terlibat. Semoga yang cedera segera sembuh,” katanya dalam satu kenyataan di  Twitter. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI