fbpx

WHO gesa Eropah bertindak segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANGKITAN cacar monyet mencecah lebih tiga ribu kes dengan Eropah paling terjejas. - Twitter

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan segera dilaksanakan bagi mencegah penularan lebih meluas virus cacar monyet di Eropah selepas jangkitan me­ningkat tiga kali ganda sejak dua minggu lalu.

“Hari ini (kelmarin), saya meningkatkan gesaan kepada kerajaan dan masyarakat supaya menggiatkan usaha dalam tempoh beberapa minggu dan beberapa bulan akan datang untuk mencegah jangkitan cacar monyet daripada menjadi lebih meluas,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Henri Kluge.

Sejak awal Mei lalu, peningkatan mendadak kes cacar monyet dikesan di luar negara-negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit tersebut adalah endemik.

“Sebanyak 90 peratus kes yang direkodkan di seluruh dunia atau 4,500 jangkitan berlaku di Eropah,” kata Kluge

Sejumlah 31 negara dan rantau kini menyaksikan jangkitan cacar monyet.

Kata Kluge, Eropah berterusan menjadi pusat wabak tersebut, manakala risikonya kekal tinggi. Menurutnya, WHO tidak menganggap wabak cacar monyet pada masa ini memerlukan pengisytiharan darurat kesihatan antarabangsa tetapi akan menyemak semula pendiriannya dalam masa terdekat. 

“Kebanyakan jangkitan cacar monyet dikesan dalam kalangan lelaki yang melakukan seks sejenis dan berusia muda, manakala sebahagian besar kes berlaku di kawasan bandar,” tambah Kluge. 

Cacar monyet mempunyai kaitan dengan penyakit cacar yang membunuh berjuta-juta orang di seluruh dunia pada setiap tahun sebelum dihapuskan pada 1980, namun simptomnya jauh lebih ringan.

Penyakit cacar monyet bermula dengan demam seterus­nya merebak menjadi ruam dan membentuk keruping. Gejala cacar monyet biasanya ringan dan sembuh selepas dua atau tiga minggu.

Setakat ini, Britain mencatatkan bilangan kes terbesar melibatkan 1,076 jangkitan diikuti Jerman (838), Sepanyol (736), Portugal (365) dan Perancis (350), demikian menurut data daripada Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Dalam pada itu, kajian pertama yang meneliti kes cacar monyet di Britain menyatakan kelmarin bahawa pesakit di negara itu mempunyai simptom berbeza daripada wabak cacar monyet sebelum ini.

Mereka berkata, wabak sebelum ini menyaksikan lebih banyak lesi (ruam seperti luka) terdapat pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki. Bagaimanapun, sejumlah 75 peratus kes cacar monyet di Britain menyaksikan ruam timbul pada bahagian dubur dan sekitar alat sulit. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI