KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan mengharapkan barisan pemain import dapat tampil lebih cemerlang untuk membantu pasukan mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas menjelang aksi Liga Super bertemu Sabah FC malam ini.
Kata Devan, dua pemain import baharu yang ditandatangani skuad Hobin Jang Hobin pada jendela perpindahan kedua kali ini, Gustavo Almeida dan Yashir Pinto telah menunjukkan impak serta keserasian yang baik dengan rakan sepasukan.
“Sudah tentu kami mengharapkan sentuhan Gustavo yang kita lihat begitu bekerja keras selaku penyerang dan memiliki tahap kecergasan yang begitu tinggi untuk memberi tekanan buat pertahanan lawan.
“Saya juga berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh Pinto di bahagian tengah kerana dia agak kreatif dalam membantu jentera serangan dengan melakukan hantaran serta membuka ruang untuk mencipta jaringan,” katanya.
Sementara itu, Devan mengakui masih belum sesuai untuk pasukannya mendabik dada selepas dilabel sebagai pencabar pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berjaya menduduki tempat kedua setelah mengharungi 11 perlawanan.
“Ini merupakan tahun pertama kita dalam kempen Liga Super. Mengenai peluang untuk mencabar JDT, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka telah bergelar juara lapan kali Liga Super berturut-turut.
“Namun, untuk menamatkan saingan di kelompok lima atau enam pasukan terbaik musim ini mungkin cerah kerana saya lihat pemain boleh berikan saingan kepada pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA FC), Selangor FC, Kuala Lumpur City (KL City), dan Terengganu FC (TFC),” katanya.